I made this widget at MyFlashFetish.com.


Cinta kepada Allah dengan ketaatan . Cinta kepada Rasul dengan keperibadian mulia . Cinta kepada jihad dengan perjuangan . Cinta kepada makhluk dengan mentaati Allah , mencontohi Rasul dalam berperibadi dan sentiasa hidup dengan perjuangan yang pastinya menagih pengorbanan ...

Wednesday 17 April 2013

Terpautnya hati Kerana Teh Susu


*Note: Cerpen ni ana kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian hanya untuk tatapan hati juga santapan minda.. Untuk makluman juga, Institut Al-Quran Terengganu ada menganjurkan pertandingan karya kreatif sempena "Minggu Syiar Islam" .. Inilah karya yang bakal dipertandingkan..

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Ish, geram betul la duduk dalam rumah ni! Asyik bersepah je. Kalau rumah ikhwan tak apa lah. Tapi, ni rumah akhawat. Macam sarang tikus je," bebel Qistina Humaira sambil tangannya ligat mengemas meja makan di ruang tamu.
"Kenapa tu Qistina? Tak baik tau mengungkit-ungkit ni. Kalau tak puas hati, pergi cakap terus kat orang tu. Jangan cakap belakang, OK?" tegur Atiqah Nadhirah dalam nada yang lembut. Suasana sepi seketika. Masing-masing memikirkan masalah sendiri. Mungkin.
"Ye lah...asyik nak minum teh susu je, pastu, malas basuh. Nampak sangat ni kerja siapa..." ujar Qistina Humaira lagi, masih tidak mahu mengalah.
"Qistina, sudah-sudah, Kak Eyka tak nak dengar lagi Qistina cakap macam tu. Kita kan duduk satu bumbung, dah ibarat macam satu keluarga. Yang Qistina marah tadi tu ibarat adik-beradik Qistina sendiri tau. Qistina sanggup dengar tak kalau ada orang mengata adik-beradik Qistina sendiri? Qistina, kita duduk serumah ni, kita kena banyak bersabar dan mengalah tau. Qistina faham kan, maksud Kak Eyka ni?"
Nasihat Atiqah Nadhirah sampai ke hati Qistina Humaira, membuatkan lidahnya kelu tidak terkata. Barangkali, Qistina Humaira sedang memikirkan kebenaran kata-kata Atiqah Nadhirah.
Atiqah Nadhirah memerhati gelagat Qistina Humaira yang dari tadi masih mengemas seluruh ruang tamu rumah. Pergerakannya selincah mulutnya juga. Sambil menggeleng kepala, Atiqah Nadhirah tersenyum nipis. Macam-macam gelagat manusia rupanya. Tanpa berkira, Atiqah Nadhirah turut membantu Qistina Humaira mengemas.
************
"Adik-adikku semua, jom makan! Sarapan dulu tau sebelum keluar rumah," seperti biasa, Fariha Afina memekik memanggil ahli rumahnya untuk menjamu selera. Suaranya yang lantang boleh membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur. Memang kebiasaan setiap pagi, Fariha Afina menyiapkan sarapan, kemudian, mengajak semua ahli rumahnya makan bersama. BERJAMA'AH.
Fariha Afina memang seorang yang tegas. Dan juga, amat mementingkan soal kesihatan. Dia sangat mengutamakan sarapan pagi dan sanggup menyiapkan sarapan setiap pagi. Satu lagi, Fariha Afina ni memang pantang kalau ada sesiapa yang pergi kelas atau keluar rumah sebelum sarapan. Terlalu tegas dalam pendiriannya.
"Alah, asyik-asyik teh susu je. Leeya dah la tak berapa suka minum susu. Esok buat lah air lain pulak," komen Aleeya Athirah dengan selamba. Semua mata memandangnya tepat. Diam dan sunyi.
"Leeya, Alhamdulillah tau sebab kita dapat juga makan dan minum. Kita kena banyak bersyukur," kata-kata Atiqah Nadhirah seperti seorang ibu yang sedang menasihatkan anak, membuatkan semua orang tertunduk. Akur dan patuh.
Atiqah Nadhirah yang sudah dianggap seperti kakak dan juga tempat bergantung sentiasa menegur dan menasihatkan salah silap mereka. Kata-katanya juga sangat berhikmah dan penuh dengan kelembutan serta kasih-sayang. Sememangnya faktor umur Atiqah Nadhirah yang lebih tua setahun daripada mereka semua membuatkan mereka amat menghormatinya.
"Kalau tak suka minum teh susu, lain kali bangun tidur awal sikit. Pastu, buat lah air sendiri. Banyak songeh pulak. Orang dah tolong buatkan ni, berterima kasih tak sedikit pun terluah di bibir," perli Qistina Humaira dengan lancangnya. Sengaja hendak menyedarkan Aleeya Athirah. Sedikit sebanyak, marah yang dia simpan untuk Aleeya Athirah terhambur keluar juga.
Ruang meja makan menjadi sayu seketika. Qistina Humaira dan Aleeya Athirah memang ada berlaga angin sikit. Pantang berjumpa, ada sahaja yang tidak kena.
"Ok, terima kasih Fariha Afina, sebab dah buat teh susu yang sedap ni," Fatini Syafiqah cuba untuk menceriakan suasana dengan senda guraunya. Dia memang periang dengan sifatnya yang manja membuatkan semua jatuh sayang. Padanlah, umurnya juga paling muda antara semuanya. Qistina Humaira, Fariha Afina, Aleeya Athirah, dan Fatini Syafiqah sebaya, tapi, Fatini Syafiqah yang muda sebab dia lahir pada bulan November lewat beberapa bulan daripada yang lain.
Memang tidak dapat dinafikan yang mereka semua sebenarnya suka minum teh susu. Walaupun awal-awal perkenalan mereka dulu ada yang tidak berapa suka, tapi hakikatnya dah suka pun. Cuma masih tidak mahu mengatakan kesukaan itu lagi. EGO.
**********
"Kenapa pagi ni tak ada teh susu?" Aleeya Athirah tertanya-tanya sendiri kehairanan. Dia terus duduk di kerusi di meja makan.
Sambil menatang dulang, Qistina Humaira yang keluar dari dapur berjalan menuju ke meja makan dan berkata, "Ni dia teh susu buatan tangan Qistina. Tapi, tak la sesedap yang Fariha Afina buat." Qistina Humaira seakan memahami apa yang tersirat dalam hati sahabatnya, Aleeya Athirah.
Pagi itu, walaupun mentari sudah menjengah menampakkan dirinya, ada lagi sahabat yang masih enak diulit mimpi. Sudah menjadi kebiasaan mereka tidur selepas Subuh. Mungkin disebabkan malam yang pendek pada musim panas seperti ini, waktu tidur tidak mencukupi.
"Eee, tak sedap la. Tak manis sangat, pastu, tak pekat macam Fariha Afina selalu buat," komen Aleeya Athirah membuatkan Qistina Humaira terdiam. Benar-benar menggores hati lembutnya.
"Leeya ni kan tak reti nak bersyukur langsung. Bila orang dah buat dia nak komen pulak, bila orang tak buat dia nak ungkit itu la ini la. Kalau nak ikut selera sendiri, pegi la buat sendiri," akhirnya larva gunung berapi meletus juga daripada mulut Qistina Humaira. Sudah lama dia bengang dengan sikap Aleeya Athirah yang tidak pernah hendak bersyukur.
Dengan hati yang sebal, Qistina Humaira terus melangkah masuk ke dalam bilik, meninggalkan Aleeya Athirah yang masih terkaku dan terpaku di meja makan.
"Qistina, kenapa ni? Dari tadi lagi Kak Eyka tengok masam je muka tu?" tanya Atiqah Nadhirah dengan prihatin dan penuh kasih sayang.
"Huk, huk, huk ...sedih. Huk, huk..." sayu suara Qistina Humaira. Atiqah Nadhirah memeluk bahu Qistina Humaira yang duduk di sebelahnya di atas katil dan cuba menenangkannya. "Cuba cerita..." bisik Atiqah Nadhirah ke telinga Qistina Humaira dengan penuh kelembutan.
"Qistina geram sangat dekat Leeya tu. Dia selalu je kata orang pastu komen macam-macam. Apa dia ingat dia tu betul sangat. Menyampah tau bila setiap hari macam ni," beritahu Qistina Humaira dengan penuh emosi.
Atiqah Nadhirah membetulkan kedudukannya. Dia menghadap ke arah Qistina Humaira agar mereka saling bertentangan. Dia memandang sayu wajah Qistina Humaira. Penuh pengertian. Sudah hampir tujuh bulan mereka tinggal bersama, dia seolah sudah memahami perangai setiap seorang daripada mereka.
Otaknya cuba berfikir bagaimana cara terbaik untuk menenangkan Qistina Humaira yang masih bertemankan air mata. "Qistina ingat lagi tak tentang hadis Rasulullah..yang mana pada suatu hari tu, ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah. Lalu dia berkata kepada Baginda, "Berikan aku nasihat," Baginda terus bersabda, "Janganlah kamu marah". Lelaki itu terus mengulangi permintaannya dan Baginda tetap menjawab, "Janganlah kamu marah". Sekali lagi dia menuntut persoalan yang sama dan Baginda tetap berkata:"Janganlah kamu marah". Tiga kali baginda mengucapkan "Janganlah kamu marah" lalu Baginda bersabda: "Sesungguhnya kemarahan adalah bara api yang dicampakkan oleh syaitan ke dalam hati Bani Adam..."
Atiqah Nadhirah menarik nafas sebelum menyambung kembali butir katanya, "Kak Eyka rasa hadis ni dah cukup untuk Qistina kaji dan muhasabah kembali perbuatan kita."
Atiqah Nadhirah menggenggam erat tangan mulus Qistina Humaira, sambil tersenyum. "Kak Eyka tahu Qistina seorang yang kuat dan tabah. Jangan terlalu ikut emosi tau. Qistina cuba fikir dulu sebelum buat apa-apa supaya diri kita tidak dipengaruhi oleh syaitan. OK? Kak Eyka tahu Qistina mampu untuk kawal emosi dan banyakkan bersabar ye dik. Moga Allah sentiasa merahmatimu..." nasihat Atiqah Nadhirah seolah butiran permata yang dicerna kemas dalam mindanya.
Qistina Humaira turut menyedari kesalahannya. Sebelum ini dia hanya meletakkan kesalahan itu pada Aleeya Athirah sahaja. Qistina Humaira berjanji dengan dirinya sendiri untuk lebih bersabar dan mencuba untuk mengawal emosinya. 'Inilah yang dinamakan JIHAD! Kalau mati dikira SYAHID ni' bisik hati Qistina Humaira masih sempat memikirkan matlamat hidupnya itu.
**********
Sejak peristiwa antara Qistina Humaira dan Aleeya Athirah hari itu, Qistina Humaira banyak berdiam diri. BerMUHASABAH. Bimbang dirinya dikuasai emosi.
Manakala Aleeya Athirah pula mula perasankan sesuatu. Bila dia mengkritik tentang sesuatu, semua orang hanya berdiam. Tidak menegur. Tidak pula membalas kata-katanya seperti selalu. Selalunya, si Qistina Humaira lah yang kerap membidasnya.
Timbul rasa bersalah dalam dirinya. 'Aku ada buat orang terasa hati dengan sikap aku ke?' Aleeya Athirah bertanya dirinya. Dia cuba mengingati peristiwa lalu...
Aleeya Athirah cuba mencari silapnya. Dia sudah mula menyedari kesalahannya yang lalu. Lirik lagu 'Sebuah Pertemuan' dendangan kumpulan Nasyid kegemarannya UNIC dihayati. Kenangan-kenangan indah detik pertemuan mereka diimbau...
Ketika diri mencari sinar, Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar, Tersungkur di lembah kegelapan
Bagaikan terdengar bisikan rindu , Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu , Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan...
Kau bisikkan bicara keinsafan, Kau beri kekuatan, Tika aku
Diuji dengan dugaan...
Saat ku kehilangan keyakinan , Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan, Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan, Hati yang dahulu keresahan
Cinta yang semakin kesamaran, Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasihMu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga, Mekar tidak pernah layu,
Damainya hati , Yang dulu resah keliru

Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini, Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekatiNya, Tika diri dalam kebuntuan
Betapa aku menghargai, Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti, Cinta hakiki yang abadi
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasihMu Tuhan
**********
Suatu pagi, ketika semua orang masih lagi di dalam selimut, Aleeya Athirah terbangun. Dia berasa sunyi sahaja. Tetapi, hatinya berbunga-bunga bila difikirkan perancangannya sebelum tidur semalam. Hari ini dia rasa bersemangat untuk melancarkan misinya. Lantas dia bangun dari katil ke bilik air. Yang lain, seperti biasa, sesudah solat Subuh meneruskan kerja ikhlas mereka.
Aleeya Athirah terus menapak ke dapur untuk meneruskan perancangannya. Dia leka membuat sarapan. Setelah siap memasak, dia menghidangnya. Saat itu, terdetik di hatinya, 'Sedap ke aku masak ni? Macam mana kalau tak ada orang nak makan? Aku ni bukannya pandai masak sangat. Redha je lah kan...'
Aleeya Athirah mengajak sahabat-sahabatnya menikmati sarapan pagi. Dadanya berdebar-debar saat itu. Takut dikritik sebenarnya. Maklumlah, sebelum ini dia yang mengkritik orang. Dia berharap agar rancangannya menyiapkan sarapan menjadi, sebagai permintaan maaf akan salah silapnya sebelum ini. Takut-takut juga tiada yang mahu memakan masakannya.
"Alhamdulillah, sedapnya. Pandai Leeya masak," puji Atiqah Nadhirah walaupun masakan Aleeya Athirah biasa-biasa saja, hanya nasi goreng biasa dan air teh susu. Sudah tentulah teh susu kegemaran bersama. Aleeya Athirah terasa lega. 'Tapi, teh susu tu macam mana?'
Aleeya Athirah nampak Fatini Syafiqah menuang air ke dalam cawan lalu diminum. "Wah, sedapnya. Lepas ni Leeya boleh la ganti Fariha Afina buat teh susu pulak ye."
Aleeya Athirah terharu mendengar komen positif daripada sahabat-sahabatnya. Walaupun hakikatnya rasa teh susu itu tidak dapat menandingi teh susu Fariha Afina, mereka semua tetap memujinya.
Aleeya Athirah bertambah sedar akan kelancangannya sebelum ini. Dia juga dapat merasakan bagaimana perasaan sahabat-sahabatnya apabila membuat sesuatu, seperti memasak dengan penat lelah dan bersungguh-sungguh, akhirnya tidak dihargai malah dikritik pula. Pasti sedih dan kecewa rasanya. Aleeya Athirah bersyukur, secara berhikmah Allah menegur sikapnya. Dia juga bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang sudah dianggap sebagai adik-beradik yang sangat baik dan penyayang. Walaupun banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, mereka masih sabar dan tidak menyisihkannya. Malah, menegur kesalahannya dengan berhikmah.
Ukhwah mereka bermula dengan ketetapan ALLAH. Bertaut kerana teh susu, Menjadi semakin erat semanis teh susu. Tetap akan segar dalam kenangan bersama teh susu. Moga kekal hingga ke syurga dengan kenikmatan teh susu di syurga (lagi sedap).

No comments:

Post a Comment

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

I made this widget at MyFlashFetish.com.