I made this widget at MyFlashFetish.com.


Cinta kepada Allah dengan ketaatan . Cinta kepada Rasul dengan keperibadian mulia . Cinta kepada jihad dengan perjuangan . Cinta kepada makhluk dengan mentaati Allah , mencontohi Rasul dalam berperibadi dan sentiasa hidup dengan perjuangan yang pastinya menagih pengorbanan ...

Monday 22 April 2013

Tidak Ada Yang Dapat Menghalang


Petang yang indah. Matahari seolah-olah mengalirkan cintanya melalui sinar-sinar cahaya perangnya, yang menembusi setiap sudut dunia, menyinari setiap ciptaan Illahi.
Burung-burung menzahirkan cintanya, bertasbih memuji keindahan Yang Maha Indah. Pokok-pokok kelihatan seolah-olah tiang-tiang cinta, bersambung ke langit, menghubungkannya dengan bumi.
Namun begitu, keindahan petang itu tetap tidak dapat menghapuskan awan kelabu di hatiku pada petang itu. Aku duduk berbaring di atas katil, merenung siling bilikku. Hatiku resah. Petang itu kelihatan sangat suram.
*********
Sejam sebelum itu...

"Khairul Aslah! Ke sini sekejap!" Panggil Puan Zanariah.
Aku mengerling ke sekeliling kelas 2 Alif. Suasana di dalam kelas senyap sekali. Semua murid sibuk menyiapkan tugasan karangan yang diberi oleh Puan Zanariah, yang juga guru kelas aku itu.
Aku bangun dari kerusi, lalu perlahan menuju ke meja guru yang terletak di bahagian hadapan kelas. Aku duduk di kerusi yang bertentangan dengan guruku itu.
"Khairul Aslah,"
"Err... ya cikgu?" aku kenal dengan renungan itu. Renungan yang menjanjikan berita buruk.
"Kamu dah tahu keputusan peperiksaan semester kamu?"
Nah. Soalan yang menakutkan. Menjanjikan seribu mimpi ngeri.
"Err.. belum.. kenapa cikgu?"
Puan Zanariah mengeluarkan sehelai kertas berwarna kuning. Transkrip keputusan peperiksaan.
"Tak mengapa. Lihat dahulu."
Aku melihat kertas itu.
Terkejut!
"Tidak mungkin. Ini mesti salah orang."
Aku melihat namanya. benar. KHAIRUL ASLAH BIN ZUKI. Tetapi, bagaimana mungkin?
"Khairul Aslah, sebenarnya cikgu lihat keputusan kamu sejak beberapa bulan ni agak merundum. Cikgu pun terkejut dengan perubahan keputusan kamu, tapi..."
"......"
"Cikgu tahu, kamu dah berusaha. Cuma, lepas ini, cuba lagi ya?"
"Baik, cikgu... Insyaallah"
*****
Aku bertanya kepada diri.
'Aku dah usaha kan? Kenapa masih tak berjaya? Aku study tak cukup ke? ke Allah memang tak bagi aku berjaya? Tapi kenapa?'
Sedang aku sibuk merenung siling bilikku, berfikir, waktu itulah kebetulan Akhi Anas Afifi, naqib usrahku, datang menegurku.
"Assalamualaikum... Akhi! kenapa muram je ni? Senyum lah sikit.. eleh... putus cinta ke? Hahaha"
Akhi Anas Afifi memang seorang naqib yang ceria. Lawaknya sentiasa membuatku tersenyum. Aku sangat mengaguminya. Sebagai naqib yang sangat prihatin, dia sering sekali menziarahiku. Paling tidak, seminggu sekali dia mesti menjejakkan kali ke bilik ini. Kebetulan waktu inilah dia datang.
"Waalaikumsalam. Eh, pandai jelah anta. Mana ada apa-apa, kan senyum ni? Hehe..."
"Tak payah nak cover dengan ana. Ada tulis kat dahi tu, 'sedang dilanda masalah', hehe.. gurau.. kenapa ni? Ceritalah."
"Hmm... begini... sebenarnya, tadi Puan Zanariah panggil ana. Dia tunjuk result peperiksaan semester tempoh hari. Ana masih tak meningkat lagi. Ana tak fahamlah akhi, ana dah usaha betul-betul, tapi kenapa masih tak berjaya?"

"Oh.. akhi, inilah dinamakan ujian daripada Allah S.W.T. anta ingat lagi tak ana cakap, Allah S.W.T dah kata dalam surah al-Baqarah, ayat 214. Orang beriman itu pasti diuji. Ujian itulah yang akan menentukan sejauh mana kemantapan Iman anta."

"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu Amat dekat." (al-Baqarah: ayat 214)
Naqibku yang satu ini, kata-katanya selalu penuh dengan nasihat. Itulah juga punca mengapa aku selalu berkongsi masalah dengannya.
"Tapi akhi.. ana dah usaha. Ana dah berdoa, ana dah tawakkal. Kenapa Allah S.W.T masih tak bagi? Sedangkan ana dah usaha habis-habisan dah ni."

"Akhi, anta mesti paham satu persoalan ini, anta berusaha untuk apa? Maksud ana bukan niat anta, tapi kenapa anta berusaha?"

"Untuk dapatkan result cemerlanglah. Kenapa?"

"Huhu... akhi, sebenarnya, kita tak boleh berniat macam tu. kadang-kadang manusia berusaha dengan harapan dia akan dapat capai hajatnya atas usahanya. Mungkin itu sebab Allah tak bagi apa yang kita hajatkan."

"Maksud anta?"

"Kita tak boleh berusaha untuk capai apa yang kita hajati. Itu seolah-olah menunjukkan kita mengaku yang kita ni ada kekuasaan. Sebenarnya akhi, kita berusaha untuk menunjuk sahaja."

"Menunjuk?"

"Hehe.. Dengar sampai habis dulu... kita berusaha sebab kita nak tunjukkan kepada Allah, betapa kita inginkan apa yang kita hajati itu, tunjukkan kesungguhan kita kepada Allah. Sebab Allah yang akan bagi. Bukannya kita usaha untuk capai perkara itu. Bila Allah lihat kita bersungguh-sungguh menunjukkan kepadaNya betapa kita inginkan perkara itu, baru Allah akan bagi."

"Oh... Begitu"

"Hmm... lagipun, mungkin itu ada baiknya bagi anta. Think positive. Ingat surah al-Baqarah, ayat 216?"

"Diwajibkan atas kamu berperang, Padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. boleh Jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah ayat 216)

"Tapi ana tak berjaya.. macam mana itu boleh jadi lebih baik pula?"

"Huhu..akhi. Nak dengar cerita tak?"
"Cerita ini tentang seorang ahli ikhwanul muslimin. Namanya hampir sama dengan nama seorang sahabat Rasulullah s.a.w, Umar. Umar Thilmisani."
Umar Thilmisani ini, salah seorang hakim mahkamah tinggi, di Mesir. Dia juga adalah mursyidul am Ikhwanul Muslimin yang ketiga. Seorang da'ie, seorang murobbi, yang sangat hebat. Dia sangat hebat, sampai dikatakan dia itu, meninggalkan kesan positif pada setiap orang yang pernah berhubungan dengannya.
"Hebat betul orangnya."

"Hehe. Anta nak tahu tak bagaimana dia ini, boleh tertarik dengan Islam? Tertarik dengan ikhwanul muslimin?"

"Dia asalnya bukan Islam ke?"

"Eh, dia Islam. Cuma mula-mulanya tu, Islam pada nama. Anta tahu kan?"

"Oh.. ok, sambung cerita."

"Pada masa itu, Umar Thilmisani ini hendak menghadiri perbicaraan. Jadi dia nak naik keretapi dari Kaherah ke Iskandariah."
Dalam pada dia tengah menunggu tu, dia terlihat kelibat seorang tukang sapu. Dia tengok, tukang sapu itu menyapu dengan penuh keikhlasan. Dia tertarik melihat peribadi seorang yang begitu mulia itu.
Dia pun pergi dan bertanya kepada tukang sapu itu. Tukang sapu itu pun menceritakan kepadanya, tentang Islam. Umar Tilmisani ini pun kagum dengan akhlak yang ditunjuk oleh tukang sapu itu. Akhirnya, Umar Tilmisani ini, ikut halaqoh dengan tukang sapu itu."

"Wah, hakim mahkamah tinggi, ikut halaqoh dengan tukang sapu?"

"Ya. Anta bayangkan, betapa hebatnya tukang sapu itu. Padahal bukan sesiapa pun, cuma tukang sapu. Tapi anta lihat, sampai boleh halaqohkan hakim mahkamah tinggi. Maksud ana tadi, kalau pun anta tak berjaya dalam akademik, don't be sad, mungkin ada kebaikannya akhi. Mungkin juga Allah dah aturkan rancangan yang terbaik untuk anta. Kita memang kena usaha, tapi kalau Allah tak bagi, maknanya Dia tahu apa yang lebih baik untuk kita. Mana tahu, suatu hari nanti, anta jadi tukang sapu macam itu? Haha...."
Tanpa disedari, air mataku menitis. Jatuh diatas kaki seluarku.
"Oh. Betul juga kata-kata akhi tu. Syukran kathir, tenang sikit hati ini."
"Bukan ana yang bagi. Ketenangan, Allah S.W.T yang bagi. Kalau anta rasa gelisah, ingatlah Allah. baca al-Quran ke. Sebab Allah dah janji dengan kita kan Akhi. Membujur lalu, melintang patah. Tak ada yang dapat menghalang kalau Allah dah bagi laluan"
"Hehe. Ana tahu. Surah ar-Ra'd, ayat 28. Kan?"

"(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." 
(ar-Ra'd ayat 28)

"Pandai ikhwanku ini. Ok akhi, ana perlu beransur dulu, banyak kerja sekolah yang tak siap lagi. Ada masa ana datang ziarah lagi, Insya-Allah. Kalau ada masalah, call atau datang je bilik ana ye."

"Insyaallah, Syukran Akhi. Uhibbuka fillah."

"Uhibbuka fillah aidhon, akhi..."
Kami berpeluk. Erat.
"Assalamualaikum.."
"Waalaikumussalam..."
Akhi Anas Afifi pun keluar.
Aku merenung ke langit. Mujur keindahan tadi masih belum pudar. Kini hatiku tenang. Setenang langit petang yang mulai bertukar merah. Indahnya ukhuwwah kerana Allah S.W.T, setiap kita saling menguatkan yang lain.
Kerana itulah Allah S.W.T menggambarkan orang yang beriman sebagai saudara. Setiap langkah dakwah, jika diambil bersama, pasti terasa lebih ringan. Itulah keajaiban ukhuwwah fillah.
Aku bangun dari katil, lalu berwudhuk dan membuka al-Quran kecil milikku.
"Ya Allah, Engkaulah Yang Maha Mengetahui, apa yang terbaik untukku, maka berikanlah yang terbaik. Aku redha dengan ketentuan-Mu, aku ikhlas dengan cintaku pada-Mu. Redhailah kehidupanku, Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang..."

Doaku dalam tangisan.
Jika takdirnya begitu sukar, yakinlah, pasti ada baiknya. Membujur lalu, melintang patah. Percayalah, kerana DIA lebih tahu! Apa yang terbaik untuk diri kita. Tak ada yang dapat menghalang.

Wednesday 17 April 2013

Terpautnya hati Kerana Teh Susu


*Note: Cerpen ni ana kongsikan bersama sahabat-sahabat sekalian hanya untuk tatapan hati juga santapan minda.. Untuk makluman juga, Institut Al-Quran Terengganu ada menganjurkan pertandingan karya kreatif sempena "Minggu Syiar Islam" .. Inilah karya yang bakal dipertandingkan..

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
"Ish, geram betul la duduk dalam rumah ni! Asyik bersepah je. Kalau rumah ikhwan tak apa lah. Tapi, ni rumah akhawat. Macam sarang tikus je," bebel Qistina Humaira sambil tangannya ligat mengemas meja makan di ruang tamu.
"Kenapa tu Qistina? Tak baik tau mengungkit-ungkit ni. Kalau tak puas hati, pergi cakap terus kat orang tu. Jangan cakap belakang, OK?" tegur Atiqah Nadhirah dalam nada yang lembut. Suasana sepi seketika. Masing-masing memikirkan masalah sendiri. Mungkin.
"Ye lah...asyik nak minum teh susu je, pastu, malas basuh. Nampak sangat ni kerja siapa..." ujar Qistina Humaira lagi, masih tidak mahu mengalah.
"Qistina, sudah-sudah, Kak Eyka tak nak dengar lagi Qistina cakap macam tu. Kita kan duduk satu bumbung, dah ibarat macam satu keluarga. Yang Qistina marah tadi tu ibarat adik-beradik Qistina sendiri tau. Qistina sanggup dengar tak kalau ada orang mengata adik-beradik Qistina sendiri? Qistina, kita duduk serumah ni, kita kena banyak bersabar dan mengalah tau. Qistina faham kan, maksud Kak Eyka ni?"
Nasihat Atiqah Nadhirah sampai ke hati Qistina Humaira, membuatkan lidahnya kelu tidak terkata. Barangkali, Qistina Humaira sedang memikirkan kebenaran kata-kata Atiqah Nadhirah.
Atiqah Nadhirah memerhati gelagat Qistina Humaira yang dari tadi masih mengemas seluruh ruang tamu rumah. Pergerakannya selincah mulutnya juga. Sambil menggeleng kepala, Atiqah Nadhirah tersenyum nipis. Macam-macam gelagat manusia rupanya. Tanpa berkira, Atiqah Nadhirah turut membantu Qistina Humaira mengemas.
************
"Adik-adikku semua, jom makan! Sarapan dulu tau sebelum keluar rumah," seperti biasa, Fariha Afina memekik memanggil ahli rumahnya untuk menjamu selera. Suaranya yang lantang boleh membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur. Memang kebiasaan setiap pagi, Fariha Afina menyiapkan sarapan, kemudian, mengajak semua ahli rumahnya makan bersama. BERJAMA'AH.
Fariha Afina memang seorang yang tegas. Dan juga, amat mementingkan soal kesihatan. Dia sangat mengutamakan sarapan pagi dan sanggup menyiapkan sarapan setiap pagi. Satu lagi, Fariha Afina ni memang pantang kalau ada sesiapa yang pergi kelas atau keluar rumah sebelum sarapan. Terlalu tegas dalam pendiriannya.
"Alah, asyik-asyik teh susu je. Leeya dah la tak berapa suka minum susu. Esok buat lah air lain pulak," komen Aleeya Athirah dengan selamba. Semua mata memandangnya tepat. Diam dan sunyi.
"Leeya, Alhamdulillah tau sebab kita dapat juga makan dan minum. Kita kena banyak bersyukur," kata-kata Atiqah Nadhirah seperti seorang ibu yang sedang menasihatkan anak, membuatkan semua orang tertunduk. Akur dan patuh.
Atiqah Nadhirah yang sudah dianggap seperti kakak dan juga tempat bergantung sentiasa menegur dan menasihatkan salah silap mereka. Kata-katanya juga sangat berhikmah dan penuh dengan kelembutan serta kasih-sayang. Sememangnya faktor umur Atiqah Nadhirah yang lebih tua setahun daripada mereka semua membuatkan mereka amat menghormatinya.
"Kalau tak suka minum teh susu, lain kali bangun tidur awal sikit. Pastu, buat lah air sendiri. Banyak songeh pulak. Orang dah tolong buatkan ni, berterima kasih tak sedikit pun terluah di bibir," perli Qistina Humaira dengan lancangnya. Sengaja hendak menyedarkan Aleeya Athirah. Sedikit sebanyak, marah yang dia simpan untuk Aleeya Athirah terhambur keluar juga.
Ruang meja makan menjadi sayu seketika. Qistina Humaira dan Aleeya Athirah memang ada berlaga angin sikit. Pantang berjumpa, ada sahaja yang tidak kena.
"Ok, terima kasih Fariha Afina, sebab dah buat teh susu yang sedap ni," Fatini Syafiqah cuba untuk menceriakan suasana dengan senda guraunya. Dia memang periang dengan sifatnya yang manja membuatkan semua jatuh sayang. Padanlah, umurnya juga paling muda antara semuanya. Qistina Humaira, Fariha Afina, Aleeya Athirah, dan Fatini Syafiqah sebaya, tapi, Fatini Syafiqah yang muda sebab dia lahir pada bulan November lewat beberapa bulan daripada yang lain.
Memang tidak dapat dinafikan yang mereka semua sebenarnya suka minum teh susu. Walaupun awal-awal perkenalan mereka dulu ada yang tidak berapa suka, tapi hakikatnya dah suka pun. Cuma masih tidak mahu mengatakan kesukaan itu lagi. EGO.
**********
"Kenapa pagi ni tak ada teh susu?" Aleeya Athirah tertanya-tanya sendiri kehairanan. Dia terus duduk di kerusi di meja makan.
Sambil menatang dulang, Qistina Humaira yang keluar dari dapur berjalan menuju ke meja makan dan berkata, "Ni dia teh susu buatan tangan Qistina. Tapi, tak la sesedap yang Fariha Afina buat." Qistina Humaira seakan memahami apa yang tersirat dalam hati sahabatnya, Aleeya Athirah.
Pagi itu, walaupun mentari sudah menjengah menampakkan dirinya, ada lagi sahabat yang masih enak diulit mimpi. Sudah menjadi kebiasaan mereka tidur selepas Subuh. Mungkin disebabkan malam yang pendek pada musim panas seperti ini, waktu tidur tidak mencukupi.
"Eee, tak sedap la. Tak manis sangat, pastu, tak pekat macam Fariha Afina selalu buat," komen Aleeya Athirah membuatkan Qistina Humaira terdiam. Benar-benar menggores hati lembutnya.
"Leeya ni kan tak reti nak bersyukur langsung. Bila orang dah buat dia nak komen pulak, bila orang tak buat dia nak ungkit itu la ini la. Kalau nak ikut selera sendiri, pegi la buat sendiri," akhirnya larva gunung berapi meletus juga daripada mulut Qistina Humaira. Sudah lama dia bengang dengan sikap Aleeya Athirah yang tidak pernah hendak bersyukur.
Dengan hati yang sebal, Qistina Humaira terus melangkah masuk ke dalam bilik, meninggalkan Aleeya Athirah yang masih terkaku dan terpaku di meja makan.
"Qistina, kenapa ni? Dari tadi lagi Kak Eyka tengok masam je muka tu?" tanya Atiqah Nadhirah dengan prihatin dan penuh kasih sayang.
"Huk, huk, huk ...sedih. Huk, huk..." sayu suara Qistina Humaira. Atiqah Nadhirah memeluk bahu Qistina Humaira yang duduk di sebelahnya di atas katil dan cuba menenangkannya. "Cuba cerita..." bisik Atiqah Nadhirah ke telinga Qistina Humaira dengan penuh kelembutan.
"Qistina geram sangat dekat Leeya tu. Dia selalu je kata orang pastu komen macam-macam. Apa dia ingat dia tu betul sangat. Menyampah tau bila setiap hari macam ni," beritahu Qistina Humaira dengan penuh emosi.
Atiqah Nadhirah membetulkan kedudukannya. Dia menghadap ke arah Qistina Humaira agar mereka saling bertentangan. Dia memandang sayu wajah Qistina Humaira. Penuh pengertian. Sudah hampir tujuh bulan mereka tinggal bersama, dia seolah sudah memahami perangai setiap seorang daripada mereka.
Otaknya cuba berfikir bagaimana cara terbaik untuk menenangkan Qistina Humaira yang masih bertemankan air mata. "Qistina ingat lagi tak tentang hadis Rasulullah..yang mana pada suatu hari tu, ada seorang lelaki datang menemui Rasulullah. Lalu dia berkata kepada Baginda, "Berikan aku nasihat," Baginda terus bersabda, "Janganlah kamu marah". Lelaki itu terus mengulangi permintaannya dan Baginda tetap menjawab, "Janganlah kamu marah". Sekali lagi dia menuntut persoalan yang sama dan Baginda tetap berkata:"Janganlah kamu marah". Tiga kali baginda mengucapkan "Janganlah kamu marah" lalu Baginda bersabda: "Sesungguhnya kemarahan adalah bara api yang dicampakkan oleh syaitan ke dalam hati Bani Adam..."
Atiqah Nadhirah menarik nafas sebelum menyambung kembali butir katanya, "Kak Eyka rasa hadis ni dah cukup untuk Qistina kaji dan muhasabah kembali perbuatan kita."
Atiqah Nadhirah menggenggam erat tangan mulus Qistina Humaira, sambil tersenyum. "Kak Eyka tahu Qistina seorang yang kuat dan tabah. Jangan terlalu ikut emosi tau. Qistina cuba fikir dulu sebelum buat apa-apa supaya diri kita tidak dipengaruhi oleh syaitan. OK? Kak Eyka tahu Qistina mampu untuk kawal emosi dan banyakkan bersabar ye dik. Moga Allah sentiasa merahmatimu..." nasihat Atiqah Nadhirah seolah butiran permata yang dicerna kemas dalam mindanya.
Qistina Humaira turut menyedari kesalahannya. Sebelum ini dia hanya meletakkan kesalahan itu pada Aleeya Athirah sahaja. Qistina Humaira berjanji dengan dirinya sendiri untuk lebih bersabar dan mencuba untuk mengawal emosinya. 'Inilah yang dinamakan JIHAD! Kalau mati dikira SYAHID ni' bisik hati Qistina Humaira masih sempat memikirkan matlamat hidupnya itu.
**********
Sejak peristiwa antara Qistina Humaira dan Aleeya Athirah hari itu, Qistina Humaira banyak berdiam diri. BerMUHASABAH. Bimbang dirinya dikuasai emosi.
Manakala Aleeya Athirah pula mula perasankan sesuatu. Bila dia mengkritik tentang sesuatu, semua orang hanya berdiam. Tidak menegur. Tidak pula membalas kata-katanya seperti selalu. Selalunya, si Qistina Humaira lah yang kerap membidasnya.
Timbul rasa bersalah dalam dirinya. 'Aku ada buat orang terasa hati dengan sikap aku ke?' Aleeya Athirah bertanya dirinya. Dia cuba mengingati peristiwa lalu...
Aleeya Athirah cuba mencari silapnya. Dia sudah mula menyedari kesalahannya yang lalu. Lirik lagu 'Sebuah Pertemuan' dendangan kumpulan Nasyid kegemarannya UNIC dihayati. Kenangan-kenangan indah detik pertemuan mereka diimbau...
Ketika diri mencari sinar, Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar, Tersungkur di lembah kegelapan
Bagaikan terdengar bisikan rindu , Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu , Menyalakan obor pengharapan

Tika ku kealpaan...
Kau bisikkan bicara keinsafan, Kau beri kekuatan, Tika aku
Diuji dengan dugaan...
Saat ku kehilangan keyakinan , Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan, Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan, Hati yang dahulu keresahan
Cinta yang semakin kesamaran, Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasihMu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga, Mekar tidak pernah layu,
Damainya hati , Yang dulu resah keliru

Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini, Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekatiNya, Tika diri dalam kebuntuan
Betapa aku menghargai, Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti, Cinta hakiki yang abadi
Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasihMu Tuhan
**********
Suatu pagi, ketika semua orang masih lagi di dalam selimut, Aleeya Athirah terbangun. Dia berasa sunyi sahaja. Tetapi, hatinya berbunga-bunga bila difikirkan perancangannya sebelum tidur semalam. Hari ini dia rasa bersemangat untuk melancarkan misinya. Lantas dia bangun dari katil ke bilik air. Yang lain, seperti biasa, sesudah solat Subuh meneruskan kerja ikhlas mereka.
Aleeya Athirah terus menapak ke dapur untuk meneruskan perancangannya. Dia leka membuat sarapan. Setelah siap memasak, dia menghidangnya. Saat itu, terdetik di hatinya, 'Sedap ke aku masak ni? Macam mana kalau tak ada orang nak makan? Aku ni bukannya pandai masak sangat. Redha je lah kan...'
Aleeya Athirah mengajak sahabat-sahabatnya menikmati sarapan pagi. Dadanya berdebar-debar saat itu. Takut dikritik sebenarnya. Maklumlah, sebelum ini dia yang mengkritik orang. Dia berharap agar rancangannya menyiapkan sarapan menjadi, sebagai permintaan maaf akan salah silapnya sebelum ini. Takut-takut juga tiada yang mahu memakan masakannya.
"Alhamdulillah, sedapnya. Pandai Leeya masak," puji Atiqah Nadhirah walaupun masakan Aleeya Athirah biasa-biasa saja, hanya nasi goreng biasa dan air teh susu. Sudah tentulah teh susu kegemaran bersama. Aleeya Athirah terasa lega. 'Tapi, teh susu tu macam mana?'
Aleeya Athirah nampak Fatini Syafiqah menuang air ke dalam cawan lalu diminum. "Wah, sedapnya. Lepas ni Leeya boleh la ganti Fariha Afina buat teh susu pulak ye."
Aleeya Athirah terharu mendengar komen positif daripada sahabat-sahabatnya. Walaupun hakikatnya rasa teh susu itu tidak dapat menandingi teh susu Fariha Afina, mereka semua tetap memujinya.
Aleeya Athirah bertambah sedar akan kelancangannya sebelum ini. Dia juga dapat merasakan bagaimana perasaan sahabat-sahabatnya apabila membuat sesuatu, seperti memasak dengan penat lelah dan bersungguh-sungguh, akhirnya tidak dihargai malah dikritik pula. Pasti sedih dan kecewa rasanya. Aleeya Athirah bersyukur, secara berhikmah Allah menegur sikapnya. Dia juga bersyukur dikurniakan sahabat-sahabat yang sudah dianggap sebagai adik-beradik yang sangat baik dan penyayang. Walaupun banyak kesalahan dan kesilapan yang dilakukan, mereka masih sabar dan tidak menyisihkannya. Malah, menegur kesalahannya dengan berhikmah.
Ukhwah mereka bermula dengan ketetapan ALLAH. Bertaut kerana teh susu, Menjadi semakin erat semanis teh susu. Tetap akan segar dalam kenangan bersama teh susu. Moga kekal hingga ke syurga dengan kenikmatan teh susu di syurga (lagi sedap).

Saturday 13 April 2013

Dalam Kepayahan Itu



Langkah kaki dipercepat, secepat panik menguasai diri. Jam telah menunjukkan 8 Malam, bukti bahawa dia benar-benar lewat. Langkah masih diteruskan untuk terus menuju ke Masjid Asy-Syatibi walaupun diri berada dalam kritikan waktu.
Tadi dia bersama rakan-rakan sepatutnya berbincang tentang pembentangan subjek Science yang bakal dilaksanakan minggu itu. Kerja sebegitu seringkali diambil kisah pada akhir waktu. Bila sudah dirasakan semakin dekat tarikh, barulah diajak berbincang.
Begitulah sikap separuh manusia. Namun bukannya sifat bertangguh itu tidak cuba dibendung, adakalanya semangat dalam diri tewas dengan hasutan Syaitan. Wan Ilhami sebenarnya sedang dalam perjalanan ke Masjid Asy-Syatibi untuk menghadiri usrah. Sandal yang berat melambatkan lagi pergerakannya, ditambah pula dia sudah penat, ke sana ke sini mengejar tugas yang belum selesai.
Bagi sesetengah orang, Institut itu dikatakan kecil jika dibanding dengan Institut lain yang ada di Malaysia. Tetapi ketahuilah, orang yang berjalan itu lebih memahami daripada orang yang melihat.
Usrah. Perkataan itu berat. Sekurang-kurangnya, berat bagi diri Wan Ilhami. Entah mengapa, dia seringkali berasa sedih dan risau apabila tiba waktu untuk menghadiri usrah.
Perhaps it's the feeling of belonging, that seems to be far away from her. Orang lain dilihatnya tiada masalah bergaul. Cuma dia yang berasa lain.
Mesej ringkas telah Wan Ilhami hantar kepada kakak Naqibah. "Sorry akak, saya lambat sikit".
Akhirnya sampai juga dia di Masjid Asy-Syatibi. 8:30 Malam.
Isy, betul-betul lambat ni.
Dia bergegas menanggalkan sandal dan berlari menaiki tangga, selangkah dua anak tangga, ke tingkat dua. Matanya mencari-cari, akhirnya dia mengangguk.
............................................................................................................
Anak-anak usrah pada petang itu  berbincang tentang sebuah surah daripada al-Quran (maaf, saya benar-benar lupa surah mana). Naqibah meminta seorang memilih satu ayat yang dirasakan dekat dengan diri masing-masing dan menerangkan sedikit isi yang dapat difikirkan.
Salah seorang daripada mereka memilih ayat berkenaan ibubapa, isi yang dikeluarkan amat bernas. Hati Wan Ilhami sudah berat bercampur risau.
Setelah selesai, Naqibah meletakkan pandangannya pada Wan Ilhami. 'Wan Ilhami?' Dia senyum.
'Eh? Kena juga ya? Ingatkan seorang saja.' Wan Ilhami menjawab, malu.
'Kena lah, barulah adil.'
Wan Ilhami kelu. Sungguh, dia amat payah untuk bercakap dan menyampaikan. Itulah kelemahan dirinya yang amat ketara. Naqibah memberi peluang dia berfikir.
Sementara itu, anak usrah lain menceritakan tentang ayat yang dipilihnya. Wan Ilhami tercari-cari ayat dalam al-Quran, ayat yang telah mereka baca tadi.
Akhirnya dia mengangguk saat Naqibah bertanya adakah dia sudah ada ayat pilihan. Ayat yang dirasakannya menarik adalah berkait dengan al-Quran sendiri.
Tangan Wan Ilhami sejuk. Ya, dia takut. Tapi digagahnya juga lidah untuk berkata-kata, sekurang-kurangnya sedikit.
'Sebagai yang kita tahu, al-Quran itu kitab Allah, petunjuk untuk seluruh ummat Islam.  Al-Quran ini panduan sebenar dalam Islam. Kalau kita takut, sedih, bacalah al-Quran. Sebab kalau kita betul-betul cari, kita akan dapat jumpa.
Matanya bertemu mata naqibah. Naqibah mengangguk. Alhamdulillah. At least aku dah cakap. Detik hatinya dengan penuh lega.
'Kalau kita lihat, setiap orang mempunyai cara yang berbeza dia melihat mesej dalam al-Quran. Ini sebab pandangan orang lain-lain. Allah ciptakan manusia berbeza. Sebab itu ayat-ayat dalam al-Quran juga menyentuh skop yang berbeza-beza, gaya ayat yang lain-lain.'
............................................................................................................
Bukan semua orang senang menyampaikan. Tapi ketahuilah, menyampaikan tidak hanya bermaksud bercakap, memberi tazkirah dan sebagainya.
Menulis, melukis dan pelbagai cara lain juga boleh dikira dakwah, jika mengandungi unsur-unsur baik yang selaras dengan Islam.
Dekatkanlah diri dengan Allah, dengan al-Quran selalu. Jika kita tiada Allah, kita tiada apa.

Tuesday 2 April 2013

Terlalu Rugi Jika Ditangisi Kerana Dunia



Kesedihan adalah satu fitrah yang Allah ciptakan kepada hambaNya.
Kadangkala kesedihan mampu membuat kita kembali kepadaNya, dan kadangkala juga kesedihan membawa kita jauh dariNya. Semuanya berlaku kerana izin Allah Ya Rabbul Izzati. Maka kemanakah tempat terbaik untuk kita mencurahkan kesedihan agar ia tidak menjadi perkara yang sia-sia?
Acap kali, manusia itu bersedih kerana perkara duniawi semata-mata. Apabila kita gagal dalam peperikasaan kita akan bersedih. Ketika putus cinta dengan sang kekasih kita akan bersedih. Hatta apabila kita kehilangan sesuatu yang kita sayangi, kita juga pasti akan bersedih. Persoalannya, wajarkah untuk kita bersedih semata-mata perkara dunia yang kelihatan besar di mata kita, sebenarnya terlalu kecil disisi Allah Azzawajalla.
Dalam sebuah Hadith Sahih disebutkan:
"Seandainya nilai dunia ini disisi Allah sama nilainya dengan sayap seekor nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk air pun."
Menurut Allah, dunia lebih tidak berharga dari sayap seekor nyamuk. Maka inilah hakikat sebenar nilai dan timbangan dunia ini disisi Allah. Lalu atas alasan apa untuk kita bersedih dan gelisah kerana hal dunia semata-mata?
Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah seorang ulama yang sangat masyur pernah mengatakan bahawa:
Mengingati Allah itu ibarat air kepada ikan, lihat keadaan ikan apabila berjauhan tanpa air.
dan Ibnu Qayyim Al Jauziyyah juga pernah mengatakan bahawa:
Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali gembira mengenali Allah.
Sakinah atau kebahagian adalah apabila anda merasa aman atas diri sendiri masa depan, keluarga dan kehidupan anda sendiri. Dan semua ini terhimpun dalam keimanan, redha terhadapa qadha' dan qadhar serta diiringi oleh sifat qana'ah dan sabar.
Oleh itu kita harus kembali kepada hakikat hidup yang sebenar, jadikanlah kesedihan itu sebagai ruang untuk kita meraih pahala daripadaNya dan bukannya kita lemparkan dan luahkan segala kesedihan kita semata-mata kerana dunia, kerana dunia ini terlalu kecil untuk ditangisi.
Perempuan, jadilah mahal. Tak mudah didekati, tak mudah dimiliki.

Lelaki, jadilah kebal. Tak mudah tewas dengan nafsu.


Kecewa. Aku juga, remaja akhir zaman..



Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

I made this widget at MyFlashFetish.com.