I made this widget at MyFlashFetish.com.


Cinta kepada Allah dengan ketaatan . Cinta kepada Rasul dengan keperibadian mulia . Cinta kepada jihad dengan perjuangan . Cinta kepada makhluk dengan mentaati Allah , mencontohi Rasul dalam berperibadi dan sentiasa hidup dengan perjuangan yang pastinya menagih pengorbanan ...

Monday 8 July 2013

Hadirmu Dan Pemergianmu.. Adakah Aku Peduli?


Hadirmu.. Disambut dengan penuh riang-ria.. Diraikan oleh mereka yang sentiasa.. Mengucapkan syukur pada pencipta-NYA.. Tanpa rasa duka dan sengsara
Hadirmu.. Buat kami berlumba mengimarahkannya.. Ganjaranmu berlipat kali ganda banyaknya
Menundukkan martabat seorang hamba.. Mendekatkan diri pada pencipta-NYA
Hadirmu.. Menjadi tetamu istimewa.. Membawa Rahmat KeampunanNya
Fadhilat yang melimpah ruah.. Beruntunglah bagi yang memanfaatkannya
Ketibaanmu.. Mengingatkan ‘status’ kami sebagai hamba.. Tangisi dugaan dialami mereka
Menjadikan kami lebih bertaqwa.. Mensyukuri nikmat pinjaman-NYA
Ketibaanmu.. Mendidik kami menjadi pemurah
Yang Kaya menghulur dana.. Yang Kuat membantu yang lemah
Tibamu sebagai madrasah tarbiyah
Pemergianmu.. Ditangisi mereka yang benar bertaqwa.. Disambut ria mereka yang alpa dan leka
Melupakan mereka bahawasanya.. Ini Ramadhan terakhir untuk dirinya
Pemergianmu.. Mengundang sendu dan hiba.. Pada segenap rasa di jiwa
Sulaman rindu pasti ada.. Untukmu Ramadan yang mulia.. Sentiasa tersemat di lubuk hatiku.. 
Akan ku nantikan kehadiranmu pada masa yang akan datang..

Tuesday 2 July 2013

Nafsu Bukan Segalanya Pada Hati



“Arghh.. bodohnya aku! Kenapa aku ikut nafsu..?”
“Aduh.. aku kalah lagi dengan nafsu..”
“Kenapa aku begini? Teruknya..”
Kerana nafsu diri disalahkan.. begitulah keadaan kita apabila terlanjur melayan kehendak nafsu. Nafsu mengajak, kita melayan. Nafsu memang hebat. Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sanggup kita turuti.
Semuanya kerana apa? Kerana nafsu mengajak melakukan sesuatu yang sangat menyeronokkan. Kita suka. Akhirnya, nafsu menjadi musuh yang sangat kita cintai.
Bayangkanlah.. keburukan nafsu seperti banyak makan, banyak tidur, banyak cakap, marah-marah, seronok berhibur, bermegah dengan kecantikan, sombong dengan harta kekayaan, gila pujian, rasuah, melihat aurat orang lain, dan lain-lain adalah sesuatu yang memang menjadi kesukaan manusia. Semuanya ‘best-best’.
Allah ‘Azza Wa Jalla juga ada menyebutkan..
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء وَالْبَنِينَ وَالْقَنَاطِيرِ الْمُقَنطَرَةِ مِنَ الذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَالْخَيْلِ الْمُسَوَّمَةِ وَالأَنْعَامِ وَالْحَرْثِ ذَلِكَ مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاللّهُ عِندَهُ حُسْنُ الْمَآبِ
Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”[3 : 14] 
Mahu menentang perkara yang kita suka? Huu.. pasti sukar.
Nafsu yang menyeronokkan itu tetap akan ada dalam diri kita walau di mana jua. Apabila nafsu ditentang, diri kita yang terseksa. Menentang nafsu ibarat menentang diri sendiri. Keperitan dan kesakitannya pasti terasa. Maka ramailah dalam kalangan kita yang tidak menentang nafsu malah rela melayannya kerana tidak mahu diri terseksa.
Lalu apa jadi selepas nafsu dituruti?
Kita rasa menyesal atau rasa terhibur?
Kita kesal? Alhamdulillah.. bersyukurlah sekiranya kekesalan itu wujud dalam diri kita. ‘Rasa menyesal’ merupakan bukti bahawa kita masih beriman dan kita masih punya harapan.
Biarlah kekesalan itu mendorong diri kita untuk bertaubat, memohon keampunan daripada Allah atas keterlanjuran kita. Jangan ditangguh-tangguh taubat itu kerana pengampunan Allah tersedia buat hamba-hambaNya yang segera memohon ampun.

Sabda Rasulullah SAW;
مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ، ثُمَّ يَقُوْمُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّـهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّـهُ لَهُ
“Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia menyempurnakan wuduknya.
Kemudian ia bangun, lalu mendirikan salat dua rakaat, seterusnya memohon keampunan kepada Allah, melainkan Allah mengampunkan baginya.”
[Riwayat Abu Daud dan Tirmizi] 
Mengadulah pada Allah akan kelemahan kita dalam melawan kerenah nafsu. Selalulah meminta kekuatan dan petunjuk agar diri kita tidak mudah tergoda oleh pujukan dan rayuan nafsu.
“Apa jadi kalau diri kita tidak rasa menyesal lalu terus hanyut dengan nafsu?”
Adush.. ruginya.. rugi besar..
Malang sungguh keadaan insan yang sedemikian. Sudah melakukan dosa namun tiada rasa penyesalan, itu tandanya kita adalah penderhaka. Langsung tidak rasa bersalah terhadap dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya orang yang derhaka itu  melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap dihidungnya.” 
 [Riwayat Bukhari]
Ya, memang benar. Apabila diri kita sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata menurut kehendak nafsu, maka dosa akan dianggap sesuatu yang biasa. Lepas buat dosa, dibiarkan diri tanpa taubat. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu tidaklah memberi kesan apa-apa melainkan kepuasan yang menyeronokkan.
Arhh.. apa sudah jadi? Adakah diri kita begitu?
Jangan. Jangan bersikap sebegitu wahai diri. Jangan jadikan nafsu sebagai Tuhanmu. Berhentilah  menurut kehendak nafsumu. Jangan sampai keseronokan dan kelekaan kita melayan nafsu menyebabkan kita rosak. Mata kita jadi buta, tidak dapat melihat kebenaran. Hati kita jadi keras tidak dapat dilembutkan dengan kebenaran. Lalu kita hidup dalam kesesatan.
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلَا تَذَكَّرُونَ
“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”[45 : 23] 
Jelas sungguh keterangan daripada Allah itu. Maka marilah kita bersama-sama takut kepada Allah ‘Azza Wa Jalla dan berusaha menjauhkan diri daripada segala pujuk rayu hawa nafsu. Mudah-mudahan Redha dan Syurga-Nya menjadi milik kita. Hayati janji Allah ini;
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى
“Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”[79 : 40-41] 

Sunday 2 June 2013

Pilihan Jodohmu, Yang Bertudung atau Yang Menutup Aurat?



"Aku tak nak kahwin dengan perempuan yang bertudung!"
"Haa? Kenapa?"
"Aku nak kahwin dengan wanita yang tutup aurat."
Alhamdulillah. Tersenyum hati mendengar jawapan yang serius itu. Tentunya jejaka tersebut seorang yang sangat menjaga diri dan kehidupannya. Pasti dia bukan calang-calang lelaki.
Bayangkanlah, pasangan hidup yang dipilih bukan sekadar bertudung tetapi lengkap menutup aurat. Dalam erti kata lain, dia sedar bahawa urusan perkahwinan bukanlah perkara yang remeh. Hanya insan yang mentaati Allah dan Rasul-Nya sahaja yang terpaut di hati untuk dijadikan permaisuri dalam istana rumah tangga.
Lihatlah di sekeliling kita. Apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini? Berapa ramai wanita yang bertudung? Pasti boleh dibilang dengan jari bukan? Tidak ramai. Yang bertudung pula, tidak semua menutup aurat dengan sempurna.
Buktinya? Kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri. Mereka bertudung tetapi tidak labuh hingga menutupi dada. Pakaian pula ketat, singkat, tipis, malah ada yang berlengan pendek. Jelasnya, mereka hanya bertudung namun dalam masa yang sama tetap mendedahkan aurat.
Hayati kembali perintah Allah ini;
ا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاء الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُوراً رَّحِيماً

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal,maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[33:59] 
Faktor inilah yang menyebabkan lelaki-lelaki yang beriman sangat memilih dalam soal pemilihan calon isteri. Bagi mukmin yang betul-betul hidup kerana Allah, dia pasti akan berfikir lima enam kali sekiranya diminta untuk memilih wanita yang 'bertudung tapi mendedahkan aurat'. Kemungkinan besar, permintaan wanita itu akan ditolak atau tidak dilayan.
Bagaimana pula dengan wanita yang langsung tidak bertudung? Di mana mereka di hati orang mukmin? Adakah mereka akan menjadi pilihan hati lelaki-lelaki yang bertaqwa? Sudah pasti tidak! Sedangkan yang bertudung pun masih diragukan dan ditolak ke tepi, apatah lagi yang langsung tidak bertudung? Pasti akan dibuang sejauh-jauhnya.
"Cerewet sungguh orang-orang mukmin!"
Ya.. memang cerewet! Hehee..
Pernah membeli makanan di kedai kuih? Mana satu yang menjadi pilihan, kuih yang dibungkus penuh, atau kuih yang dibungkus separuh? Atau yang langsung tidak berbungkus? Saya yakin kita akan memilih yang berbungkus penuh kerana keadaannya dijamin lebih baik dan bersih.
Begitulah juga dengan orang-orang mukmin. Mereka memang sangat memilih dalam hal ini. Bukan apa, kehidupan berumah tangga diwujudkan semata-mata untuk beroleh rahmat daripada Allah agar bahagia di dunia dan di akihirat. Andai tersalah pilih atau memilih mengikut nafsu, maka akan hilanglah bahagia dikemudian hari.
Lagipun Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua ;
"Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana kedudukannya/ keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, pilihlah yang baik agamanya nescaya engkau beruntung."
[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Rasulullah SAW ketika ditanya oleh para sahabat mengenai ciri wanita pilihan yang diperlukan oleh suami, Rasulullah SAW menjawab,
" Wanita yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh, wanita yang tidak mengkhianatinya (tidak curang), dan wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci."
[Riwayat Abu Daud dan Nasai]
Wanita yang bertudung tetapi masih mendedahkan aurat di khalayak ramai merupakan wanita yang tidak serius menjalankan ketaatan kepada Allah. Wanita sebegini tidak mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan. Lantas bagaimana hendak dipilih menjadi calon isteri?
Cuba fikirkan sejenak..
Sedangkan perintah Allah SWT sanggup diabaikan inikan pula kita sebagai manusia biasa? Sudah pasti dengan mudah akan diingkari bukan? Pada masa itu, jangan hairan sekiranya kebahagiaan itu beransur-ansur hilang. Semuanya atas pilihan kita juga.
"Tapi jodoh sudah ditentukan! Kalau dia ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang yang tidak menutup aurat secara sempurna, apa boleh buat.. memilih-milih pun tiada guna."
Ya.. jodoh memang sudah ditentukan oleh Allah. Allah sahajalah yang layak menyatukan hati-hati insan kerana hanya Dia yang mengetahui perihal hati. Kita jangan lupa bahawa jodoh atau ketetapan itu dijalankan dengan penuh keadilan oleh Allah SWT. Allah sesekali tidak akan menzalimi hamba-Nya. Allah tidak akan pernah mengecewakan hamba-Nya.
Lelaki baik yang beriman pasti akan berkahwin dengan perempuan baik yang beriman. Sebaliknya, lelaki yang tidak beriman akan berkahwin dengan perempuan yang tidak beriman juga. Itu janji Allah!
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula).
[24:26] 
Maka, sebagai wanita..
Periksalah diri anda.. Tutuplah aurat dengan sempurna.
Bersungguh-sungguhlah mentaati Allah dan Rasul-Nya.
Usahlah terlalu sibuk memikirkan siapa yang bakal menjadi pasangan hidup kita,
sehingga lupa untuk sibuk memikirkan siapa diri kita di sisi Allah..
Kerana sikap diri kita hari ini menentukan sikap pasangan kita kemudian hari.

Wednesday 15 May 2013

Bentenglah Hatimu Wahai Insan



Hubungan antara dua jiwa, Yang berlainan jantina, Perlu ada batasnya
Perlu ada jaraknya, Perlu ada hadnya, Perlu ada pengawasnya
Melainkan sudah disatukan dalam ikatan yang teramat mulia
Dalam lafaz sakinah, Yakni dengan akad nikah..
Jika akad belum mengikat diri, Bentengilah hati
Kawallah hati, Pandulah pergaulan
Kekalkanlah jarak, Minimumkanlah urusan
Tegaskanlah peribadi..
Kuatkan hati dan lisan untuk berkata 'TIDAK', Pada perkara yang sia-sia
Pada perkara yang remeh-temeh, Pada perkara yang boleh melalaikan hati
Pada perkara yang boleh menggugah iman..
Namun, bagaimana jika sudah terlanjur mesra?, Bagaimana jika sudah terlanjur bergerak mengenali?
Bagaimana jka sudah terlanjur biasa bergurau senda?
Bagaimana jika sudah terlalu kerap berhubungan atas urusan yang tidak penting?
Usah khuatir! Usah bimbang! Usah risau!
Ingatlah, Allah itu Maha Pengampun, Lagi Maha Luas Pengampunannya
Serta Maha pengasih, Lagi Maha penyayang
Maka,
Ayuh, mari kita mulakan dari awal! Ayuh kita kawal hati
Ayuh kita dalami hakikat dikurniakan hati oleh Sang Pencipta Ayuh kita dekati para solehin
Ayuh kita dampingi bacaan-bacaan motivasi penguat diri, Ayuh kita lazimi Al-Qur'an dan hayati terjemahannya, Ayuh kita dekati Sang Khaliq!
Agar langkah yang baru ini terasa lebih kuat, Agar dapat istiqomah melakukannya
Agar kelak mardhotillah dapat dicapai..
*******
Ya Allah,
Diri ini melutut, memohon dengan penuh kerendahan hati, ampuni dan terimalah taubat ini, permudahkanlah jalannya, kuat dan tegarkanlah hati serta tekad ini.
Aku berserah pada-Mu ya Allah, sesungguhnya telah kusedari semua ini dulu ya Allah, namun ternyata kekuatanku belum cukup untuk bertindak, maka kini setelah aku makin sedar dan punya sedikit kekuatan, tidak ingin lagi aku tangguhkan ya Allah, tidak sanggup lagi aku lewat-lewatkan.
Ya Allah,
Bantulah aku untuk melangkah, seandainya dia benar milikku yang telah Engkau tetapkan di Luh Mahfuz, seandainya juga dia baik untuk agamaku, kehidupanku, dan kesudahan urusanku samada cepat atau lambat, takdirkanlah dia untukku, permudahkanlah serta berkatilah dia untukku, tolong jagakan dia ya Allah..
Namun, jika sebaliknya ya Allah.. Engkau redhailah hatiku, Engkau jauhkanlah aku daripadanya dan jauhkanlah dia daripadaku, Engkau buangkanlah jua segala rasa yang mungkin timbul ini ya Allah.
Aamiin ya Rabb..

Monday 13 May 2013

Tenangnya Hati Dalam Merentasi Rahmat-Nya



Tenang... Tenangnya hati tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,
Tenangnya jiwa tidak boleh dipinjam oleh sesiapa,
Tenangnya akal tidak dapat di capai dengan kekusutan dunia.
Tenangnya bersama Allah, Ketika aku tidur, Engkau selalu jaga dan melihatku lena,
Ketika aku sakit, Engkau menghapus segala dosa-dosa yang lama,
Ketika aku sesat, Engkau tarik aku kembali ke jalan-Mu,
Ketika aku sujud, Engkau hadirkan ketenangan dan harapan yang baru.
Tenangnya bersama Allah, Engkau penjagaku setiap masa,
Memerhati setiap gerak geriku, Mengabulkan doa-doa ku,
Dan membuat ku rasa selamat.
Tenangnya bersama Allah, Bila keyakinan terhadap Mu telah tinggi,
Maka aku tidak takut lagi, Tidak takut untuk mencari-Mu ketika aku susah,
Tidak lupa untuk memuji-Mu ketika aku senang,
Dan tidak sanggup untuk aku mengulangi dosa dan maksiat lama.
Tuhanku, Aku rasa tenang bersama-Mu,
Dan aku ingin kembali untuk bertemu dengan-Mu, Dalam keadaan yang Engkau redhai,
Kabulkanlah doa ini, Ya Rabb.. :'(

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

I made this widget at MyFlashFetish.com.