I made this widget at MyFlashFetish.com.


Cinta kepada Allah dengan ketaatan . Cinta kepada Rasul dengan keperibadian mulia . Cinta kepada jihad dengan perjuangan . Cinta kepada makhluk dengan mentaati Allah , mencontohi Rasul dalam berperibadi dan sentiasa hidup dengan perjuangan yang pastinya menagih pengorbanan ...

Saturday 10 March 2012

Sentuhan Cinta "Al-Khaliq"


“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.” Tangannya pantas mencapai telefon bimbit di sebelah, kelihatan jam menunjukkan pukul 5.25 pagi. Azan subuh sayup kedengaran memecahkan keheningan fajar. Beberapa saat berlalu, matanya masih jua tertutup. Para siswa dan siswi berpusu-pusu ke Masjid Asy-Syatibi untuk menunaikan solat subuh secara berjamaah.

Hati digagahkan, tangan segera meraba di dalam kegelapan, mencari sesuatu. Dia duduk di atas katil itu, sambil memegang buku Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali R.A dan membuka muka surat yang dikehendaki.
Subuh yang hening itu dimulakan dengan doa dan puji-pujian bagi yang selayaknya menerima pujian, Allah S.W.T.

Nur Ieman segera bangkit, bersiwak, dan mempersiapkan diri untuk beribadah. Subuh hanya akan tiba kurang setengah jam sahaja lagi.

Dengan lafaz bismillah, membaca surah an-Nas sebelum memulakan solat, dia hanyut di bawah kelemahannya, menghadap Yang Maha Kuasa.

Pagi itu cerah seperti biasa, awan dan matahari juga seperti biasa. Semua yang hidup itu pasti sedang bertasbih, memuji kebesaran Allah S.W.T. Selepas Isyraq, dia menarik nafas, melangkah menuju ke kelas. 
Bangunan Akademik, Institut Al-Quran Terengganu hening ketika itu. Sudah menjadi kebiasaanya, dia bahagia.

Tanpa disedari, ada yang melihat dari jauh. Hanya beberapa langkah dibelakangnya.

“Ieman.” Tegur yang melihat itu.

Nur Ieman tidak segera menoleh, walaupun langkahnya terhenti. Dia beristighfar, kerana dia tahu suara itu milik seorang 'Akhi,' panggilan yang digunakan untuk pelajar lelaki di situ.

“Assalamualaikum, Ieman.” Tegur suara itu lagi.

Pemilik suara itu berkira-kira, mungkinkah Ieman akan pergi meninggalkan dia begitu sahaja, atau sudi mendengar bicaranya.

Dia melihat sekeliling, hanya ada beberapa orang rakannya tiga langkah daripada dia. Dia tidak mahu bersendirian dengan Nur Ieman. Mestilah, haruslah, pertemuan itu berteman.

Nur Ieman hanya menjawab salam di dalam hati. Dia menutup bahagian bawah mukanya dengan lengan jubah sekolahnya, lalu tunduk seraya berkata:

“Kenapa ya, perlu berjumpa di waktu begini? Ana ada kelas.”

“Bukankah kelasmu hanya akan bermula satu jam saja lagi? Masih ada waktu."

"Ieman... ana terpaksa menganggu seketika. Ana tidak ada nombor anti untuk bertanya perkara ini.”  Ahmad Aiman menjawab.

Dia terdiam sesaat. “Sudahkan sister Khadijah berjumpa anti?” Tanyanya.

“Sudah, dan jawapan sudah diberikan.” Nur Ieman menjawab tegas.

Hatinya bergolak, perasaan bercampur baur. Dia tahu fitnah tidak akan timbul kerana Ahmad Aiman berteman, tapi mana mungkin dia berdiri di situ walaupun sesaat dua kerana hanya dia seorang di pihak muslimah.

Dia segera berlalu. Tidak betah berlama. Ahmad Aiman terkejut tapi tidak menghalang.

“Salahku juga.” Fikirnya.

*****

Lalu dia teringat pertemuannya dengan sepupunya, Khadijah, semalam.

“Allah mengetahui segala sesuatu." Khadijah memulakan bicara.

“Aiman, dia menolak. Sudah dua kali kamu cuba taqdim, cukuplah.” Tambah Khadijah.

“Tapi aku yakin dia jodohku.” Tegas Ahmad Aiman.

“Apakah keyakinanmu itu bersandarkan Allah? Bagaimana pula dengan keyakinannya menolak 
kamu? Adakah itu cuma permainan di mata? Aiman, dia sudah istikharah. Dia hanya memaklumkan belum tiba masanya saja. InsyaAllah, lepas habis pengajian, cubalah kamu mengkhitbahnya sendiri.” Balas Khadijah.

“Aku juga sudah istikharah, dan ternyata dia jawapanku.” Kata Ahmad Aiman.

Pelajar Syahadah Persijilan Tahun 1, Institut Al-Quran Terengganu itu sukar menerima hakikat.

“Istikharah tidak bermakna jika kamu berat hati pada satu jawapan sahaja. Kamu harus bersedia untuk pilihan yang lain. Itu salah kamu di situ.”

Khadijah memandang sayu sepupunya itu.

“Hanya tiga semester saja lagi. Habiskanlah pengajianmu, biarkan dia juga belajar. Kamu itu bukan setakat seorang pelajar, tapi seorang Muslim. Tanggungjawabmu lebih berat, tanamlah dulu sifat taqwa, insya-Allah, perjalananmu akan dipermudahkan.”

Kata Khadijah menutup bicara. Dia berlalu meninggalkan Ahmad Aiman dan temannya, Mukmin di kafeteria.

Ahmad Aiman menoleh ke arah temannya, meminta kekuatan walaupun sedikit.

'Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' [Q.s. An-Nisa:19 ]

Ujar temannya, memahami maksud pandangan Ahmad Aiman.

Ahmad Aiman mengusap muka dengan kedua tapak tangannya, mengucapkan terima kasih lalu beransur ke Masjid Asy-Syatibi.

Dia hendak bertaubat, kerana walau sekejap cuma, dia sudah lupa tanggungjawab yang lebih utama, iaitu menjadi hamba kepada Pencipta yang Agung lagi Maha Pengampun.

*****

Khadijah tiba di dalam bilik, meletakkan beg di atas meja, dan mengingat kembali peristiwa ketika dia 
menyampaikan hajat Ahmad Aiman buat kali kedua kepada Nur Ieman.

“Petunjuk awak adalah dia bukan?” Tanya Khadijah.

Nur Ieman tenang, lalu menganggukkan kepala.

“Tapi kenapa harus menolak?” Tanya Khadijah lagi.

Nur Ieman tersenyum, lalu menjawab.

“Belum tiba masanya. Kami masih muda, iman kami masih baru bercambah.”
Suasana senyap seketika.

“Cinta itu sempurna seperti pohon, akarnya tertanam dalam hati, batangnya kukuh dalam kata, 
buahnya terkandung dalam perbuatan. Persis seperti iman, tetap dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal. Pernah saya terbaca ayat itu.” Tambahnya lagi.

“Awak cintakan dia?” Khadijah menambah persoalan.

“Cintaku kepada Allah lebih penting, dan juga Rasulku, adakah awak hendak saya melupakan itu?”Nur Ieman menjawab dengan pertanyaan.

“Boleh saja kalau kamu bertunang dahulu sementara belajar, dan bernikah selepas tamat.” Khadijah mengutarakan pandangan.

“Pertunangan itu bagi saya, adalah untuk mengenali satu sama lain. Baguslah kalau ramai yang memikirkan begitu. Tapi saya sendiri yakin dengan pilihan Allah, biarlah saya mengenali jodoh saya selepas kami dinikahkan.”

Terang Nur Ieman. Khadijah sekadar membisu

“Aduhai Khadijah, ingatkan hatimu, ingatkan nafsumu, bahawa kematian itu dekat sekali. Mungkin ramai berkata, kita berada di sini untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu semata-mata. Seperti yang ku katakan, cinta itu seperti pohon, laksana iman.
Teguhkanlah iman dulu, siramilah dengan ketakwaan, barulah sempurna cintamu itu. Marilah kita letakkan kepercayaan kepada Allah, saya yakin, Dia akan menjaga hati kami berdua.
Insya-Allah, setelah tamat belajar, barulah mendapat keberkatan. Habiskan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan seorang anak dahulu.”

Nur Ieman berkata sambil memegang tangan Khadijah. Dia senyum, hatinya beristighfar.
Khadijah membalas senyuman Nur Ieman, lalu mengangguk tanda faham.

Dia tahu, ramai yang kalah dalam perjuangan atas nama cinta. Nur Ieman menjaga maruahnya sebagai seorang muslimah dengan rasa malunya, dengan kesabarannya.

Dia tahu, kalau ada jodoh, pasti akan bersatu jua. Lalu dia juga beristighfar di dalam hati, kerana dia tahu dan dia pasti, hatinya selalu sahaja leka namun Allah itu Maha Pengampun. Maka dia memohon keampunan.

No comments:

Post a Comment

Link Within

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

I made this widget at MyFlashFetish.com.